Wednesday, August 26, 2009

Inilah Namanya Jodoh


Aku menongkat dagu sambil cuba mendengar kuliah yang sedang disampaikan oleh Prof. Mansor. Telinga aku saja yang mendengar namun sedikit pun aku tidak memahami tutur katanya. Yalah, macam-macam yang aku sedang fikirkan saat ini. Fikiranku bercelaru dengan pelbagai perkara. Kalau nak diikutkan hati, sekarang juga aku ingin meninggalkan dewan kuliah ini.

“Macam mana Rhea? Setuju?” soal Kak Rini, kakak sulungku ketika dia menghubungiku semalam. Aku mendengus perlahan.
“Rhea tak tahu la akak. Mama senang-senang ja nak terima lamaran tu. Entah sapa-sapa entah. Yang nak jadi mangsanya, Rhea la! Eei, geram betul lah..” Luahku kepadanya. Aku harap kak Rini boleh memujuk mama supaya mempertimbangkan dahulu lamaran yang telah dihantar untukku 2 minggu yang lepas itu.

Kak Rini mengeluh kecil. “Akak pun tak tahu nak cakap apa dah dengan mama. Pihak lelaki tu katanya orang baik-baik, bakal suami Rhea tu arkitek, muda dan handsome. Kalau tak silap, namanya Rizman. Akak pun tak pernah tengok tapi mama dah beriya-iya puji dia.”
“Tapi akak, Rhea kan masih belajar. Rhea ingat nak sambung lagi ke peringkat Phd pulak lepas dapat master ni. Tak lama dah pun. Mana la Rhea sempat nak pikir pasal kawin kak Rini..” Pujukku lagi. Namun pujukanku hampa bila kak Rini menyuruhku berbincang dengan mama secara peribadi. Lagi lah susah, mama pasti tidak akan mendengar kata-kataku.

Aku tersedar dari lamunan ketika semua pelajar berebut-rebut menuju ke pintu dewan kuliah. Sudah habis kuliah rupanya. Jauh betul aku mengelamun, nasib baik Prof. Mansor tak nampak kelakuanku. Harap-harap orang lain pun tak perasan. Aku terus bergegas menuju ke Medan Kuliah kerana masih ada satu lagi kelas yang perlu kuhadiri. Betapa bosannya aku saat ini hanya Tuhan yang tahu. Wahai masa cepatlah berlalu!
***
Telefonku sudah berkali-kali berbunyi namun sengaja aku biarkan ia berdering. Tertera nama mama di skrinnya. Sudah 4 hari aku tak menjenguk mama. Bukan apa, aku agak sibuk dengan Projek Tahun Akhir yang perlu aku siapkan secepat mungkin. Dalam masa 5 bulan saja lagi aku akan memperoleh master dalam bidang perakaunan. Betapa gembiranya aku, separuh daripada cita-citaku sudah hampir tercapai. Namun apabila memikirkan mama, aku tiba-tiba saja resah. Mama oh mama...

Telefonku berdering lagi. Kali ini aku terpaksa menjawabnya. Kesian pulak aku pada wanita separuh abad yang kupanggil mama itu. Semoga mama sekadar bertanya khabar sudahlah, janganlah soal jodoh yang disebutnya, aku meminta di dalam hati.

“Assalamualaikum, mama.. sorry Rhea ada hal tadi. Mama sihat?”
“Walaikumsalam. Ingatkan nak lari dari mama. Rhea ke mana sampai 4 hari tak jenguk mama? Rhea dah tak nak balik rumah mama dah ke?” Tanya mama. Aku menghela nafas panjang.
“Ma, rhea kan ada final projek. Itu yang busy sikit. Nanti weekend Rhea balik lah, ok? Mama sihat tak? Tak jawab pun soalan Rhea... sampai hati mama tuduh Rhea macam tu… sedih Rhea tau…” Aku berpura-pura merajuk.

Mama ketawa kecil. “Anak manja mama ni dah umur 26 tahun pun perangai macam budak-budak lagi. Patutnya dah kawin dah sekarang ni. Biar bermanja dengan orang lain pulak..”

Ah tidak! Mama sudah memulakan topik yang aku paling tak suka. Cepat-cepat aku mohon diri dari mama. Aku tahu mama hampa, tapi kalau aku melayan celoteh mama berkenaan hal-hal kahwin ini silap-silap aku yang terkena. Sudahlah aku masih belum memberikan kata putus. Baik aku lari dulu. Ampunkan anakmu yang seorang ini ya mama...

*** Bersambung

No comments: